Resepi dan Tips Buat Kek Lapis Buah Prune
Resepi dan Tips Buat Kek Lapis Buah Prune
Bahan A:
- 500 gm pure butter
- 2 sudu teh esen vanilla
Bahan B:
- 20 biji kuning telur (saya guna telur seberat 65 gm sebiji)
- 5 biji putih telur
- 11 oz gula halus
- 150 gm tepung Hong Kong (kadang-kadang saya gunakan tepung self-raising & tak perlu baking powder)
- 1 sudu teh baking powder
- 1 sudu makan ovalette
Bahan C:
- 280 gm buah prune ( digunting-gunting atau dileperkan)
Cara Buat:
1. Dengan menggunakan mixer, pukul bahan A hingga kembang. Ketepikan. Pukul bahan B hingga pekat selama kira-kira 10 minit.
2. Satukan bahan A dan B. Gaul rata. Bakarlah selapis-selapis dengan menggunakan api “grill” (api atas je) hingga selesai.
3. Pada setiap lapisan genap (kedua, keempat, keenam, dan seterusnya) taburkan buah prune yang telah digunting-gunting tadi.
Nota: Tips Buat Kek
1. Saya guna sebuku 500gm butter dan keluarkan sedikit saja untuk disapukan pada loyang dan alaskan loyang dengan baking paper di dasarnya.
2. Saya gunakan loyang 7x10x3 inci persegi. Saya guna telur 65 gm sebiji. Saya gantikan gula halus dengan gula castor.
3. Saya bakar pada suhu 220°C dengan api “grill” (api atas je). Suhu ikut oven masing-masing ya.
4. Saya taburkan buah prune yang digunting-gunting pada setiap 3 lapisan dan susunkan buah prune yang dileperkan pada lapisan yang terakhir.
5. Untuk loyang 7x10x3 inci ni saya timbang setiap lapisan seberat 80gm untuk dapatkan lapisan halus seperti dalam gambar. Saya gunakan timbangan digital kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa. Letakkan saja loyang di atas timbangan digital supaya mudah untuk menimbang berat adunan untuk setiap lapisan. Lebihkan berat adunan jika inginkan lapisan yang lebih tebal.
6. Setelah lapisan terakhir, saya tukarkan mode guna api atas dan bawah suhu 150°C, letakkan aluminium foil atas loyang dan bakar selama 10 minit supaya kek masak dengan rata. Tujuan atas loyang ditutup dengan aluminium foil supaya lapisan atas tak hangus.
7. Setiap lapisan mengambil masa antara 3-5 minit bergantung pada oven masing-masing. Untuk 3-4 lapisan terakhir, masa membakar menjadi lebih cepat. Harus perhatikan setiap lapisan. Saya bakar hingga permukaan kek bertukar warna coklat (gelap sedikit saja) supaya nampak garisannya dengan jelas.
8. Aluminium foil hanya digunakan selepas lapisan terakhir dibakar dan semasa dibakar guna api atas dan bawah (150°C).
9. Bila kek dah dikeluarkan dari oven, selarikan pisau kecil di sekeliling tepi kek untuk merenggangkan tepi kek dari loyang. Terbalikkan kek di atas wire rack hingga kek sejuk sepenuhnya pada suhu bilik. Terbalikkan kek semula dan potong dengan pisau yang tajam perlahan-lahan untuk mendapatkan potongan yang cantik dan kemas.
10. Gunakan loyang 6x6x3 atau 7x7x3 inci jika nak buat 1/2 adunan.
Resepi Oleh: Aini Binte Madon